Projek Net-Zero Shrimp Aquaculture, Al Integration Hub Pertama di Asia Tenggara





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





SERASA, Isnin, 7 Julai. - Syarikat Jets Sdn. Bhd. (Jets), sebuah syarikat akuakultur, berserta dengan syarikat induknya, iaitu DABANC Group, sebuah syarikat pembekal aset digital yang ternama hari ini secara rasminya melancarkan pangkalan akuakultur udang yang pertama di Asia Tenggara hari ini.

 

Projek yang berlangsung di kawasan Pusat Perikanan Serasa di sini akan diintegrasikan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI) serta berciri Net-Zero Emission. 

 

Sehubungan dengan itu, pelancaran projek tersebut disempurnakan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Pengerusi dan Pengerusi Bersama DABANC Holding Limited, Profesor Wang Rui Ping, dan Hellen Tse serta Pengarah Urusan Syarikat Jets Sdn. Bhd. yang juga Naib Pengerusi dan Ketua Eksekutif DABANC Holding Limited, Eyan Qu.

 

Terdahulu, Eyan Qu dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa usaha yang menggabungkan kemajuan teknologi dengan kepentingan alam sekitar akan membawa masa depan yang lebih bermanfaat bagi Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

Jelasnya, projek yang baharu dirasmikan tersebut menandakan permulaan era baharu bukan hanya untuk NBD dan Asia Tenggara, tetapi juga tatacara bagaimana makanan, tenaga, dan kecerdasan boleh digabungkan secara lestari.

 

Tambahnya, perasmian pangkalan akuakultur udang berkuasa solar dengan pelepasan sifar bersih digabungkan dengan program pembiakan Udang Biru generasi akan datang dan Hab aplikasi integrasi Al.

 

Eyan Qu seterusnya menjelaskan ia lebih daripada sekadar sebuah kemudahan dan ia adalah model, prototaip bagaimana kita boleh menangani tiga cabaran global, iaitu keselamatan makanan, daya tahan iklim dan kesaksamaan teknologi.

 

Beliau menekankan, Inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, terutamanya visinya untuk mewujudkan ekonomi yang dinamik dan mampan, disokong oleh rakyat yang berkemahiran tinggi dan infrastruktur bertaraf dunia.

 

Dengan menyelaraskan tenaga bersih dengan akuakultur pintar tambahnya, projek tersebut merangkumi pemacu nasional ke arah inovasi hijau, industri berasaskan pengetahuan dan kepelbagaian.

 

Pusat itu katanya lagi, akan menempatkan sistem AI tercanggih untuk memantau kualiti air, mengoptimumkan kitaran pemakanan, dan meramal pola penyakit serta dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga bersih. 

 

Pada masa yang sama ujarnya, ia akan berfungsi sebagai hab inovasi terbuka, yang mengalu-alukan penyelidik, syarikat permulaan, dan pembuat dasar dari seluruh ASEAN.

 

Matlamat projek tersebut melibatkan pembangunan hab inovasi bagi industri akuakultur di rantau ASEAN dengan memberikan tumpuan penting kepada penggunaan teknologi pintar di setiap aspek termasuk pemantauan kualiti air, ramalan penyakit serta meningkatkan hasil pengeluaran, dan di samping itu juga akan mengutamakan integrasi tenaga suria, bagi mencapai komitmen syarikat terhadap kelestarian alam sekitar.


Juga hadir, wakil daripada sektor kerajaan, akademik, industri dan organisasi antarabangsa, serta telah disanjung sebagai sebuah inisiatif yang termuka dalam pembangunan ekonomi hijau, industri teknologi pintar dan peningkatan sekuriti makanan.

 

Adapun Syarikat Jets Sdn. Bhd. merupakan sebuah anak syarikat kepada syarikat usaha sama di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, melalui Dana Modal Pembangunan Strategik, Bahagian Pelaburan.


Aktiviti utama syarikat berkenaan adalah bagi penternakan Udang Biru Rostris, di beberapa tapak di NBD, untuk memenuhi keperluan pasaran domestik dan pasaran eksport.

 

Manakala DABANC Group pula adalah sebuah syarikat pelaburan yang beribu pejabat di Hong Kong dan mempunyai beberapa cawangan di Republik Rakyat China, Sarawak, NBD dan Amerika Syarikat.

 

Pelaburan syarikat berkenaan adalah tertumpu kepada sektor-sektor seperti Pusat Data, Al 'hyperscaler', tenaga hijau, 'blockchain/crypto', dan perbankan digital.

 

Close